[TERKINI] PAS BARU SEDAR MUSLIHAT DAP DI PULAU PINANG

Wednesday 20 November 20130 comments


PAS Pulau Pinang membantah “campur tangan tidak munasabah” kerajaan negeri di dalam hal-ehwal agama Islam, serta perlantikan wakil parti itu di dalam agensi negeri dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Fauzi Yusof berkata, PAS akan mengkaji semula kedudukannya di dalam Pakatan Rakyat jika campur tangan itu berterusan.

“Kami juga bersedia menarik keluar wakil-wakil parti dari jawatan majlis tempatan, jika enam tuntutan yang dikemukakan hari ini tidak diambil endah,” katanya pada sidang media di Seberang Jaya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Fauzi berkata, semua tuntutan itu diberikan oleh ahli akar umbi dan ditujukan kepada ahli Exco Negeri.

"Ahli akar umbi mahu PAS bersikap lebih tegas dengan sekutu Pakatan supaya (parti) diberikan peranan dan jawatan yang sewajar (dengan keseimbangan kepentingan) di dalam kerajaan negeri.

"Kami bimbang campur tangan tidak munasabah kerajaan negeri di dalam Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) akan menyebabkan pertindihan kuasa. Ini pula akan menganggu kelancaran perjalanan pertadbiran,” kata Fauzi.

Beliau mendakwa Pakatan Rakyat belum mengadakan mesyuarat majlis sejak pilihan raya 5 Mei lalu apabila pakatan itu memenangi semula pemerintahan negeri.

Menurutnya, PAS terpaksa membuat tuntutan secara terbuka disebabkan kerajaan negeri tidak menghiraukan surat-surat yang dihantar parti.

Fauzi menuntut lebih suara bagi PAS di dalam pentadbiran dan dimasukkan dalam perbincangan mengenai dasar-dasar negeri sebelum dilaksanakan.

Beliau berkata, perbincangan terbabit hendaklah memasukkan PAS sebagai sebuah pertubuhan dan bukan menerusi jemputan individu.

"Ahli akar umbi kami tidak mahu melihat parti menjadi boneka sekutu Pakatan.

“Setiap perlantikan yang membabitkan kuota PAS mestilah dibincang dengan kami dan dipersetujui oleh kami.

“Jika tidak kami tidak akan mengiktiraf perlantikan sedemikian dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit, yang akan dianggap meminggirkan kami,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man, wakil rakyat tunggal parti itu – kerusi DUN Permatang Pasir – tidak menghadiri sidang media itu.

Fauzi juga menutut Salleh diberi kuasa penuh tanpa campur tangan untuk melantik pegawai-pegawai MAIPP, pengerusi dan ahli lembaga pengarah mana-mana agensi negeri di bawah majlis agama.

Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger