[TERKINI] : MAJLIS SYURA TOLAK SOKONGAN HADI AWANG GUNA KALIMAH ALLAH OLEH BUKAN ISLAM

Monday 14 January 20130 comments


KUALA LUMPUR - Majlis Syura Ulama PAS menolak pendirian Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa penganut bukan Islam bebas menggunakan kalimah Allah asalkan ia tidak menghina agama Islam.

Majlis itu menegaskan bahawa sesungguhpun kalimah Allah boleh disebut oleh sesiapa, ia tidak boleh digunakan dalam Bible kerana akan membawa kepada kekeliruan yang “nyata".

“Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan dirinya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemah ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

“Menterjemahkan kalimah 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salahguna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah,” tegas kenyataan itu.

Minggu lalu, Hadi memberi jaminan kepada Pakatan Rakyat bahawa partinya menyokong sebarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim asalkan ia tidak menghina Islam.

Kenyataan beliau itu dilihat sebagai akur kepada desakan DAP yang mahukan penggunaan kalimah Allah dibenarkan dalam Bible versi Bahasa Melayu untuk penganut Kristian di Semenanjung.

Kenyataan Hadi itu mendapat sokongan bukan sahaja DAP tetapi juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pendirian pakatan pembangkang itu dilihat sebagai cubaan untuk menarik sokongan penganut Kristian menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun, beberapa ulama kanan PAS menyanggah pendirian Hadi dan menegaskan penggunaan kalimah Allah adalah untuk penganut Islam sahaja.

Keputusan Majlis Syura selepas bermesyuarat empat jam malam tadi mengesahkan bahawa badan itu menolak pendirian umum yang dibuat oleh Hadi bersabit penggunaan kalimah suci itu oleh bukan Muslim.

“Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada tuhan di mana umat Islam iaitu Allah yang Esa, Tunggal tidak beranak dan tidak diperanakkan,” menurut kenyataan majlis itu.

Ia bersetuju bahawa kalimah Allah boleh disebut oleh sesiapa pun “seperti orang Arab Jahiliah yang tidak Islam menyebut Allah telah menjadikan alam ini".

Bagaimanapun Majlis Syura menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam Bible tidak boleh dilakukan sama sekali kerana ia jelas terjemahan yang salah.

Kenyataan lima perenggan Majlis Syura itu dikeluarkan bersama oleh Murshidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan timbalannya Datuk Haron Din.

Tindakan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib untuk tidak mengaitkan dirinya kepada kenyataan itu menimbulkan tanda tanya.

Sebelum ini, beliau menegaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh diguna pakai oleh bukan Islam.

Harun berkata penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja.

“Agama lain termasuk Kristian tidak berhak sama sekali menggunakan kalimah suci itu, apatah lagi untuk diguna pakai dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu,” beliau dipetik berkata.

Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger