KES kecurian susu tepung bayi yang semakin terjadi-jadi menyebabkan pasar raya di beberapa tempat di Pantai Timur mendirikan `sangkar' di rak jualan untuk mencegah kejadian itun daripada terus berulang.
China Press melaporkan pelanggan yang ingin membeli susu tepung yang dipamerkan dalam `sangkar' terkunci perlu meminta pekerja kedai untuk membuka kunci bagi mengeluarkan produk berkenaan.
Peniaga memberitahu, mereka tiada pilihan melainkan membuat `sangkar' untuk mengelakkan kecurian daripada terus berlaku, walaupun keadaan itu mewujudkan suasana pelik dalam kedai.
Menurut mereka, pencuri susu tepung juga sangat ganas dan sanggup menyerang pekedai selepas mereka dikesan mencuri.
Geng curi susu tepung itu dikatakan terdiri daripada lapan hingga 10 orang lelaki dan wanita yang akan bertindak secara berkumpulan.
Sekiranya rancangan mereka dibongkar oleh pekedai, maka mereka akan mengepung pekerja berkenaan dan menggunakan kekerasan termasuk memukul mangsa.
Pencuri wanita dikatakan selalu memakai baju yang longgar untuk memudahkannya menyembunyi susu tepung di dalamnya. Mereka dikesan telah melakukan kegiatan yang sama di beberapa tempat termasuk di Kemaman, Terengganu dan Kuantan, Pahang.
Memandangkan pencuri biasanya ditemani oleh lelaki yang berbadan tegap, keadaan itu menyebabkan kebanyakan pekedai tidak berani membongkar kegiatan mereka walaupun berjaya mengesan aktiviti yang mencurigakan.
Pengarah urusan sebuah rangkaian pasar raya memberitahu, walaupun pemasangan `sangkar' membabitkan belanjakan ribuan Ringgit malahan mencecah lebih RM10,000, tetapi struktur itu berjaya mengelakkan kecurian.
``Kita telah mula mendirikan `sangkar' kira-kira tiga tahun lalu di lebih 20 cawangan. Sebelum `sangkar' didirikan, hampir setiap pasar raya di bawah syarikat kita pernah mengalami kecurian susu tepung.
``Selain kecurian yang dilakukan secara berkumpulan, terdapat juga pencuri `perseorangan' yang melakukan perkara yang sama,'' katanya.
Menurutnya lagi, geng pencuri susu tepung sangat ganas di mana mereka pernah mencederakan pekerja menggunakan senjata elektrik.
``Pencuri berkenaan juga amat berdendam dan akan menunggu masa yang sesuai untuk membalas dendam ke atas pekerja yang membongkar aktiviti mereka.
``Mereka mencuri secara terancang dan berkumpulan di mana ada yang berperanan sebagai pemerhati, ada juga yang mengalihkan perhatian pekedai untuk memudahkan rakan mereka mencuri,'' katanya. - Malaysia Gazette
Assalamualaikum,Minta tuan pautkan blog saya di http://metromalaya.blogspot.com/,blog tuan telah lama saya pautkan,t.kasih..
ReplyDelete