[TERKINI] KERUSI NKP: AZWAN BRO AKUR JIKA DITOLAK PERWAKILAN!

Saturday, 19 October 20130 comments


Jawapan berhubung siapa naib ketua Pergerakan Pemuda Umno pusat akan ditentukan Rabu ini apabila sayap parti itu mengadakan pemilihan semula di tiga bahagian.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata pemilihan semula secara serentak itu melibatkan bahagian Sabak Bernam, Bachok dan Gelang Patah.

Katanya, keputusan itu dibuat jawatankuasa berkenaan dengan persetujuan dua calon bagi jawatan berkenaan iaitu Jamawi Jaafar dan Khairul Azwan Harun, yang terikat dengan keputusan undi seri 73-73 dalam pemilihan jawatan itu Sabtu lepas. 

“Dalam perjumpaan (dengan kedua-dua calon), ada tiga bahagian (undian) yang dipertikai kedua-dua pihak, tetapi kesemua telah bersetuju supaya diadakan pengundian semula di tiga bahagian itu untuk menentukan kemenangan,” kata Tajol Rosli dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat. 

Menurutnya, perwakilan di ketiga-tiga bahagian itu akan mengundi semula bagi keempat-empat calon naib ketua Pemuda iaitu Jamawi, Khairul Azwan, Lokman Noor Adam dan Mohamad Iruan Zulkefli. 

Tajol Rosli berkata pengundian akan dijalankan menurut sistem ‘electoral college’ dan keputusan dijangka diketahui pada hari sama. 

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Abd Rauf Yusoh berkata pemilihan semula itu dibuat untuk memastikan tiada sebarang keraguan timbul tentang keputusan yang akan diumumkan kelak. 

Mengulas perkara itu, Jamawi berkata beliau menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan berhubung status jawatan naib ketua Pemuda Umno yang “tergantung” hampir lima hari. 

“Saya terima dengan hati terbuka untuk menentukan pemenang naib ketua Pemuda berdasarkan kepada tiga bahagian Pemuda yang akan bersidang semula pada Rabu. 

“Saya akan terus memberi sepenuh kepercayaan kepada Jawatankuasa Pemilihan dan berikrar…akan terus menyumbang bakti dan jasa kepada Pemuda dan Umno (walau apapun keputusan kelak),” katanya. 

Khairul Azwan pula menyifatkan kesepakatan itu dicapai atas semangat kekeluargaan dan kepentingan parti. 

Beliau juga berikrar untuk terus menyumbang kepada parti walaupun ditolak oleh perwakilan di bahagian yang akan mengundi semula nanti. 

Sistem ‘electoral college’ menyaksikan bilangan undi terbanyak yang diperoleh seseorang calon dari sesebuah bahagian, dikira sebagai hanya satu undi. 


Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger