Gambar palsu yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya berlaku kekecohan di stesen minyak malam tadi ekoran kenaikan harga minyak.
JAWATANKUASA Dasar Fiskal (Fiscal Policy Committee, FPC) telah bermesyuarat hari ini (semalam) untuk meneliti kedudukan fiskal negara dari segi perkembangan ekonomi, prospek serta risiko bagi jangka masa pendek dan panjang. FPC akan memainkan peranan utuma dalam mengukuhkan kewangan kerajaan serta memastikan kemampanan fiskal dan kestabilan ekonomi makro jangka panjang.
Saya telah mempengerusikan mesyuarat FPC pagi ini (semalam). Ahli-ahli tetap FPC terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bertanggungjawab ke atas Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Ketua Setiausaha Negara, Gabenor Bank Negara Malaysia, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU. FPC disokong oleh pejabat Dasar Fiskal Kementerian Kewangan Malaysia dan sebuah kumpulan teknikal antara agensi yang terdiri daripada pegawai-pegawai EPU, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan.
FPC menekankan bahawa komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi mencapai sasaran defisit fiskal dalam lingkungan 3 peratus kepada KDNK pada tahun 2015 dan bajet berimbang menjelang tahun 2020.
Melalui penilaian FPC, persekitaran luar didapati semakin mencabar. Lebihan akuan semasa imbangan pembayaran (BOP) yang sederhana di samping defisit fiskal yang berterusan boleh mendatangkan risiko jangka sederhana kepada ekonomi. Oleh itu, langkah mengukuhkan kedudukan fiskal adalah enting untuk mengekalkan daya tahan ekonomi dan meningkatkan lagi keyakinan rakyat dan pelabur.
Pada masa ini, subsidi dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuklah di kalangan mereka yang berpendapatan tinggi dan rakyat asing. Oleh itu, kita perlu melaksanakan sistem subsidi yang lebih mensasarkan golongan yang memerlukan dan mudah terjejas.
Rasionalisasi subsidi akan dilaksanakan dalam beberapa peringkat. Sebagai langkah pertama, dengan ini saya mengumumkan bahawa harga RON95 dan diesel akan dinaikkan sebanyak 20 sen seliter, berkuat kuasa 12.01 pagi, 3 September. Pada masa ini, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1.00 seliter bagi diesel. Jumlah subsidi bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun adalah RM24.8 billion. Pengurangan subsidi bahan api sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi 63 sen seliter bai RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.
Bagi mengurangkan bebenan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas berikutan rasionalisasi subsidi bahan api, kerajaan akan meningkatkan pemberian BR1M dalam bajet 2014 di mana jumlahnya akan diumumkan dalam ucapan bajet. Pada masa hadapan, satu jaringan keselamatan sosial (Social Safety Net) yang lebih komprehensif akan diperkenalkan. Langkah-langkah fiskal seterusnya akan diumumkan dalam Bajet 2014.
Untuk menangani lebihan akaun semasa yang berkurangan, pelaksanaan projek-projek sektor awam akan dipertimbangkan dengan teliti. Projek-projek yang mempunyai kandungan import yang rendah dan kesan pengganda yang tinggi akan diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas. manakala, pelaksanaan projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi akan disusun mengikut jadual yang sewajarnya supaya tidak mendatangkan kesan negatif kepada imbangan pembayaran. Walau bagaimanapun, projek Mass Rapid Transit (MRT) jajaran 1,2 dan 3 diteruskan seperti yang dirancang . Projek Southern Corridor High Speed Rail (HSR) pula masih dalam rundingan.
Dalam jangka sederhana dan panjang kerajaan akan mengkaji kaedah untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan mempelbagaikan lagi pasaran eksport negara. Pelancongan, sumber terimaan luar yang besar akan diberi tumpuan selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.
Pelaksanaan semua langkah tersebut bukan sahaja untuk menangani cabaran semasa terhadap ekonomi dan kedudukan kewangan kerajaan tetapi ia juga akan mengukuhkan kemampanan fiskal negara dalam jangka sederhana dan panjang. FPC akan terus bermesyuarat dari semasa ke semasa untuk menilai perkembangan ekonomi dan kedudukan kewangan kerajaan.