Perdana Menteri berkata ada di antara masyarakat India yang sampai telah mencium Zulkifli.
"Soal cakap 10 tahun dulu, Zukifli sudah meminta maaf dan orang India terima dan cium dia," katanya dalam ucapan ringkas ketika melawat Pusat Daerah Mengundi Seksyen 18 Timur di sini Isnin. Gambar Zulkifli dicium oleh seorang pemuda India pada hari penamaan calon tersebar luas apabila dimuatkan di facebook.
Turut mengiringi dalam lawatan Najib petang ini ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Zulkifli.
Pada 1 April, Zulkifli memohon maaf kepada penganut agama Hindu dan mengakui pernah membuat ucapan yang mempersenda agama itu tetapi beliau telah mengakui kesilapannya kerana ucapan itu telah dibuatnya 10 tahun lalu ketika beliau masih berada dalam PAS.
Najib berkata semangat tinggi yang ditunjukkan oleh para pekerja parti dalam jentera pilihan raya BN Shah Alam boleh membantu BN merampas kembali kerusi Parlimen Shah Alam serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Batu Tiga dari tangan pembangkang.
Jentera BN perlu berusaha keras merampas kembali Selangor pada PRU13 dan ia adalah penting bagi BN kerana sebahagian besar kekayaan negara bertumpu di negeri itu.
"Kerajaan Selangor telah menghalang projek loji air Langat 2 dan kita akan menghadapi masalah air bersih jika kita tidak ambil alih Selangor ini.
"Demi perjuangan negara, kita akan berjuang habis-habisan," katanya disambut sorakan gemuruh oleh jentera BN Shah Alam.
Najib turut berikrar untuk menjaga kebajikan orang India di kawasan Shah Alam dan akan memenuhi permintaan mereka.
Hujan lebat semasa lawatan Perdana Menteri tidak menghalang penduduk di Seksyen 18, daripada keluar beramai-ramai untuk mendekati dan beramah-mesra dengan Najib.
Sebahagian daripada mereka tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing untuk mendengar sendiri ucapan dan nasihat Najib, yang juga Pengerusi BN Selangor.
Seorang anggota Pergerakan Puteri Umno dari cawangan Seksyen 18 Timur, Nurul Aqmal Mohd Amin berkesempatan memotong kek sempena hari jadinya ke-25 sambil disaksikan Najib dan Rosmah pada acara itu.
Najib dan Rosmah turut menjamu selera bersama penduduk tempatan pada akhir lawatannya itu.
Pada sidang akhbar kemudiannya di sebuah hotel di sini, Najib berkata Zulkifli sudahpun berjuang untuk isu melibatkan kaum India seperti Sekolah Tamil, dan kuil di Shah Alam dan rakyat sudah mula menyokong beliau.
"Berbanding dengan PR (pakatan pembangkang), mereka musnahkan tujuh kuil di Selangor, macam mana itu tidak jadi isu besar...tidakkah itu lebih serius, tamparan lebih hebat kepada penganut Hindu?," kata beliau.
Shah Alam tak layak diwakili Khalid Samad.
ReplyDeleteSemua dah tenguk video Khaled menyombong diri hari penamaan calon? Eluk link merata-rata dan wajib semua penduduk shah alam tenguk keangkuhan Khalid Samad.