Pages

Saturday, 2 March 2013

[KHAS] : KRISIS DI LAHAD DATU!

Tindakan kerajaan Malaysia meletakkan 'operasi Sulu' di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mengepalai rundingan menghalau balik tentera Sulu adalah tindakan yang paling tepat.

Pencerobohan tentera Sulu yang mahu menuntut hak raja Sulu ke atas Sabah atau dibayar pampasan mengikut nilai harga pasaran semasa bukanlah konflik antarabangsa antara dua negara, dalam kata lain, bukanlah konflik antara Malaysia dan Filipina.

Adalah perlu diingat, Malaysia bahkan turut membantu kerajaan Filipina dalam mendamaikan pemberontak pejuang kebebasan Moro di selatan Filipina baru-baru ini.

Kenyataan rasmi kerajaan Filipina turut menyanggah keterlibatan pihak mereka dalam krisis di Lahad Datu. Mereka turut dilaporkan menggesa pejuang Sulu ini berbincang secara aman dalam apa juga tuntutan yang dibawa oleh mereka dan mengelakkan sebarang pertumpahan darah.

Sebenarnya, tindakan pejuang Sulu yang menyokong keturunan raja Sulu melibatkan sejarah lama iaitu sewaktu Sabah masih di bawah penjajahan British.

Perkara ini bukanlah melibatkan tuntutan sesebuah kerajaan terhadap kerajaan yang lain. Ia tidak boleh disamakan sekali dengan tuntutan kepulauan Spratley yang melibatkan kerajaan Malaysia-Filipina-China.

Dalam konteks perebutan kepulauan Spratley, ianya turut cuba diselesaikan secara baik, aman dan tenteram dengan sebarang tuntutan di bawa ke tribunal antarabangsa.

Kejadian di Lahad Datu belum dikategorikan sebagai suatu ancaman tinggi hingga memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat dan menyerahkan kuasa kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong bagi menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Namun, ATM yang sudah pun dilatih dalam operasi 'lautan biru' senantiasa siaga di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu sekiranya diperlukan.

Tuduhan-tuduhan liar sesetengah pihak yang menyalahkan tidak kira kerajaan Malaysia sendiri, KDN mahu pun ATM adalah tindakan tidak wajar dan penuh emosi sedangkan waktu ini apa yang diperlukan adalah semangat patriotik kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedaulatan dan kebebasan negara dari sebarang ancaman luar.

Risikan-risikan agensi negara turut melaporkan bahawa krisis Lahad Datu kemungkinan besar turut dilibati oleh pihak dalaman sendiri yakni rakyat Malaysia dan ancaman ini amat dibimbangi oleh kita sebagai rakyat Malaysia.

Apa pun, bukti yang kuat amat diperlukan sebelum seseorang yang disyaki menjadi sebahagian dari komplot atau krisis Lahad Datu ditangkap kerana Malaysia telah membatalkan akta keselamatan dalam negara atau internal security act (ISA) yang membolehkan langkah pencegahan dilakukan seperti tangkapan tanpa bicara.

Mungkinkah kejadian di Lahad Datu yang mengorbankan dua anggota komando VAT69 boleh dihalang dari berlaku jika ISA masih wujud - menjadi satu tanda tanya!

No comments:

Post a Comment

Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;

1. Komen yang disifatkan sebagai spam

2. Komen termasuk kata-kata kotor

3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati

4. Komen yang menyerang seseorang secara individu

atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas

Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini