Shahidan berkata, beliau tidak mungkin berhasrat untuk meninggalkan Umno kerana dirinya adalah seorang pejuang politik dan parti itu tidak pernah menimbulkan sebarang masalah terhadapnya.
“Orang lain mungkin. Buat apa saya nak lompat?. Parti tidak pernah buat salah pada saya, yang buat begitu orang lain. Saya tak sertai Pas seperti heboh diperkatakan, itu sekadar dua tiga orang bercakap di blog,” katanya kepada Sinar Harian.
Shahidan memberi reaksi itu ketika diminta mengulas dakwaan blog mengatakan dirinya akan hadir berceramah bersama pemimpin Pas di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut.
Isu terbabit timbul gara-gara gambar Shahidan bersama pemimpin Pas Kedah terpampang pada kain rentang membabitkan program anjuran Pas Kuala Kedah.
Shahidan dijadualkan hadir pada majlis Wacana Perdana, PRU13: Ke mana arah tuju Islam dan Melayu bergandingan dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malek.
Rentetan itu, beliau dikaitkan akan menyertai Pas dalam masa terdekat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Mengulas perkara itu, Shahidan berkata, perkara itu tidak perlu dijadikan isu berikutan program terbabit adalah sebuah majlis ilmu.
“Ianya bukan isu dan tidak wajar dijadikan isu. Majlis wacana ilmu itu dikenali sebagai wacana perdana, menampilkan saya selaku Ahli Majlis Tertinggi Umno. Ia bukan program politik,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir ke majlis berkenaan kerana masanya tidak sesuai kerana terpaksa berangkat ke Gaza pada keesokannya.
“Perkara itu dalam pengetahuan Setiausaha Agung Umno dan Menteri Besar Perlis dan menyifatkan ianya tidak sesuai ekoran pilihan raya semakin hampir,” katanya.
Shahidan berkata, beliau tiada masalah untuk bersama pemimpin Pas dalam satu pentas asalkan mendapat kebenaran Majlis Tertinggi dan diadakan di tempat terbuka.
“Anjuran siapa pun boleh jika dibuat di tempat sesuai. Lebih sesuai jika wacana ilmu diadakan di tempat terbuka dan bukan markas parti. Saya tak hadir sebab ada komitmen lain dan jemputan itu dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sudah dimaklumkan ketidakhadiran saya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Pas Kuala Kedah, Ridzwan Abu Bakar berkata, majlis ilmu itu sememangnya bertujuan mendapatkan perbezaan pandangan antara parti politik utama di negara ini.
“Kita jemput Shahidan sertai perbincangan lintas parti, dapatkan pandangan parti lain berkaitan topik semasa. Saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi kongsi pandangan selama 10 minit melalui telefon walaupun tidak dapat hadir,” katanya.
Menurutnya, pihaknya memilih Shahidan kerana mahu mendapatkan pandangan seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam isu berkaitan.
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini