Pages

Tuesday, 20 November 2012

FITNAH YANG ORANG UMNO TIDAK AKAN MAAFKAN!!!



IPOH - Tindakan Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat mendakwa Umno sebagai murtad adalah satu fitnah kepada umat Islam, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau turut mempersoal atas asas apa dakwaan murtad itu dikeluarkan oleh Nik Aziz sedangkan umat Islam yang menjadi anggota Umno juga mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu dan bertuhankan Allah yang satu.

"Dan jika kita menyampaikan pendapat serta mempertahan Islam, macam mana dihukum murtad? Dalam keadaan sekarang, tidak pernah berlaku di dalam Islam untuk mendoakan kehancuran orang Islam. Salah, ia bertentangan dengan Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Muzakarah Ulama dan Cendiakawan Islam yang disempurnakan Pemangku Raja Perak Raja Nr Nazrin Shah di sini hari ini.

Beliau berkata perbuatan berdoa dan mengaminkan kehancuran umat Islam adalah bidaah dan hukumnya haram serta perlu bertaubat manakala menuduh orang Islam kafir boleh membuatkan orang Islam yang menuduh itu sendiri menjadi kafir.

Katanya dalam Islam, seluruh umat adalah bersaudara dan menjadi kewajiban untuk menasihati jika mereka melakukan sesuatu yang tidak betul, namun parti pembangkang PAS melenting dan menuduh pihak lain tidak menyokong Islam apabila tindakan melampaunya ditegur.

"Macam mana dia (Nik Aziz) tuduh orang Umno semua sekali itu murtad. Apa maksud murtad yang dia kata, kalau bersekongkol dengan kafir Harbi yang terang-terang menentang Islam itu adalah kafir," katanya.

Harussani berkata perkelahian antara umat Islam sedang berlaku dalam masyarakat di negara ini dan ia sesuatu yang mendukacitakan.

"Ini sekarang berlaku dalam masyarakat kita. Politik itu politik, Islam itu Islam, kita jangan berkelahi, di mana pun jangan berkelahi. Tapi kalau kita berkelahi semasa sendiri, itu taksub yang diharamkan Rasulullah. Ini dipanggil asabiyyah.

"Asabiyyah dalam kalangan orang Islam ini ada berpuak-puak. Berpuak dari segi politik ini tiada apa-apa selagi kita tidak memutuskan hubungan silaturrahim. Perbezaan pendapat dari sudut syarak tidak salah, ia membawa kemajuan. Tapi saya lihat yang berlaku dalam kalangan orang PAS, ia membawa kebencian, mereka menghukum dan menuduh," katanya.

Harussani turut berkata ada sebuah hadis mengenai supaya berhati-hati terhadap penyelewengan orang alim kerana golongan itu mempunyai pengaruh dan pengikut.

"Ini kerana yang ikut dan puja dia mesti sokong, alasannya Nabi Noh juga mendoakan umatnya ditenggelamkan, tapi perlu ingat Nabi Noh doakan mereka yang telah tolak dakwah Allah yang baginda bawa, tapi anak, baginda panggil," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Harussani berkata umat Islam sedang dihancurkan oleh musuh Islam walaupun dilakukan secara tidak berterusan namun mereka menggunakan taktik pecah-belah menyebabkan umat bercakaran dan dibunuh.

"Dalam negara ada orang Islam yang digelar ulama memimpin doa untuk dihancurkan sesama Islam, di mana akhlak, iman, pegangan orang Islam pada waktu ini?" soal beliau.

Katanya keadaan yang berlaku hari ini disebabkan kelalaian dan kejahilan tentang akidah serta prinsip Islam sehingga ada yang berebut untuk tempat dan kerusi politik serta kedudukan.

"Sedangkan kedudukan yang telah diberi Allah adalah sebagai Islam kerana umat Islam adalah sebaik-baik umat," katanya.

Beliau berkata sepatutnya solat hajat dan doa diadakan supaya menghancurkan musuh Islam yang terang-terang membunuh umat Islam seperti di Palestin dan Rohingya. - Bernama

mimr

No comments:

Post a Comment

Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;

1. Komen yang disifatkan sebagai spam

2. Komen termasuk kata-kata kotor

3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati

4. Komen yang menyerang seseorang secara individu

atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas

Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini