Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan tersebut adalah sumbangan daripada perpaduan kukuh termasuk dengan etnik Sabah dan Sarawak seperti Iban, Dayak serta Kadazan Dusun.
Justeru, Perdana Menteri mahu semangat itu terus dikekalkan lebih-lebih lagi sempena sambutan Kemerdekaan kali ke-55 kerana hanya dengan perpaduan, kedudukan negara boleh menjadi semakin baik pada masa akan datang.
''Adalah mustahil untuk kita mengecapi kejayaan seperti hari ini secara bersendirian. Sudah pasti ia didorong oleh kepelbagaian lapisan masyarakat yang mempunyai kelebihan masing-masing hingga menjadikan kita mampu bersaing di peringkat global.
''Pada saya, segala-galanya telah dilakukan dalam semangat 1Malaysia hingga ia telah menjadi simbol kepada kejayaan negara hari ini. Tidak kira perbezaan etnik, fahaman agama mahupun bangsa, saya menyeru supaya rakyat Malaysia terus mengekalkan semangat perpaduan,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam blog 1Malaysia di http://1malaysia.com.my,semalam.
Perdana Menteri turut menyatakan tidak mungkin ada negara lain yang mampu menyatukan rakyatnya daripada pelbagai etnik untuk bersama-sama menikmati teh tarik di kedai mamak sambil menonton aksi atlet negara di Sukan Olimpik dan meraikan kejayaan negara bersama-sama.
''Ingatlah, selama ini kita telah bersama-sama merempuh segala dugaan dan cabaran bersama sejak 55 tahun lalu,'' ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga mahu semua rakyat negara ini sentiasa memperingati jasa pejuang-pejuang kemerdekaan.
''Kesemua kejayaan kita ini juga adalah hasil perjuangan para perjuang kemerdekaan negara dan kita patut berterima kasih kepada mereka. Bersama-sama dengan tentera British, mereka berjuang habis-habisan menentang komunis serta gejala ekstremis yang mampu menggugat kehidupan rakyat di negara ini.
''Mereka kemudiannya berjaya memerdekakan negara daripada cengkaman penjajah yang sekali gus memberi kita kuasa sepenuhnya untuk mengurus sendiri sumber kekayaan negara yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi seperti getah, bijih timah, kelapa sawit dan bjih besi,'' katanya
Mengulas lanjut, beliau berkata, komoditi-komoditi itu kemudiannya menjadi sangat penting kepada perkembangan industri eksport negara yang akhirnya membolehkan negara melabur untuk pembangunan infrastruktur serta industri.
Najib turut mengimbau langkah kerajaan membuka Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1996 yang membolehkan Malaysia berjaya muncul sebagai hab pelancongan antarabangsa.
''Dua tahun kemudiannya, pembinaan Menara Kembar Petronas (KLCC) pula mula menjadi ikon pencakar langit dalam negara dan lebih dari dua dekad selepas itu bangunan yang juga menempatkan gedung beli belah popular dan dikenali sebagai Suria KLCC itu masih merupakan menara kembar paling tinggi di dunia,'' katanya.
Beliau berkata, kerajaan dari setahun ke setahun terus membuat pelaburan bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di negara ini.
Sebagai contoh, kata Najib, langkah kerajaan mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC) serta pembinaan Lebuh raya Utara Selatan.
''Dengan kejayaan yang membanggakan ini, ia juga sudah pasti memberi keuntungan kepada negara. Bidang perniagaan mampu menjadi lebih baik kerana kita mementingkan perkembangan teknologi tidak kira sama ada dalam talian atau sebaliknya.
''Bidang pertanian dan komoditi utama juga berkembang dengan pesat selain bidang pelancongan serta perdagangan antarabangsa negara yang turut meningkat,'' katanya.
Hakikatnya, beliau berkata, apabila ekonomi berada dalam keadaan baik, ia sudah pasti memberi impak sosial yang baik misalnya, kualiti pendidikan menjadi semakin baik dan mula dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
''Kemudahan sumber elektrik dan air di kawasan pendalaman kini bertambah baik. Dengan perniagaan dan penyediaan perkhidmatan yang semakin berkembang, rakyat tidak perlu lagi perlu berjalan jauh untuk membeli-belah, membuat pembayaran bil ataupun untuk menonton filem di pawagam,'' katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, selain berjaya mencatatkan penyenaraian kedua dan ketiga terbesar tawaran awam permulaan (IPO) dua syarikat besar negara iaitu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan IHH Healthcare Bhd (IHH) Malaysia juga berjaya memperbaiki kedudukan di peringkat global.
Antaranya, beliau berkata, menduduki tangga ke-15 terbaik dunia dalam pasaran barangan paling berkesan, menduduki tempat ke-26 dari segi pembangunan infrastruktur dan ke-18 sebagai ekonomi paling berdaya saing di dunia. - UM
mimr
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini