Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak akan terpengaruh dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad turun berkempen menentang calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kawasan Parlimen itu.
Timbalan Perdana Menteri itu percaya pengundi telah menetapkan hati dan jiwa masing-masing terhadap BN dan tidak akan terpengaruh dengan sebarang kenyataan bekas perdana menteri itu.
Katanya, selaku bekas presiden UMNO dan pengerusi BN, tindakan Dr Mahathir turun berkempen bersama parti pembangkang itu amat dikesali, namun dalam negara yang demokratik ia bukanlah suatu kesalahan.
Beliau berharap ucapan Dr Mahathir pada majlis anjuran Pakatan Harapan di Sekinchan pagi tadi, yang telah diviralkan di media sosial, tidak mempengaruhi sikap dan keputusan pengundi di Sungai Besar atau Kuala Kangsar.
"Kita tahu beliau (Dr Mahathir) cuba untuk membakar kelambu dan tentunya kita tidak mahu kelambu BN yang terbakar disebabkan oleh beliau," katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Media PKR Sungai Besar, di sini hari Sabtu.
Beliau mengulas tindakan Dr Mahathir yang menyatakan sokongan terhadap calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Abdul Shukur dan berkempen untuk pembangkang bagi menentang calon BN, Budiman Mohd Zohdi.
Mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa orang Melayu menyokong UMNO secara membuta tuli, Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata kenyataan itu tidak menggambarkan diri beliau yang dahulu.
"Mungkin beliau tersalah bacaan dalam keadaan umurnya, kita harapkan Allah beri perlindungan kepada beliau dan kita harapkan agar tatabahasa yang digunakan oleh beliau dahulu sama dengan tatabahasa yang digunakan sekarang," katanya.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata ramai yang sudah tidak dapat menerima pendapat Dr Mahathir kerana tokoh negarawan itu kini sudah bersama dengan musuh-musuh politiknya.
Ditanya bagaimana BN boleh menangkis tohmahan Dr Mahathir, katanya, ia tidak perlu kerana rakyat sendiri telah melakukannya.
Menjawab kepada satu soalan lain, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan kepimpinan UMNO bersedia menimbang sekiranya Dr Mahathir berhasrat kembali ke pangkuan parti itu.
Bagaimanapun, beliau yakin Dr Mahathir tidak mungkin akan kembali kepada UMNO pada waktu terdekat.
Mengulas mengenai suasana kempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kematangan berpolitik dapat dilihat di kedua-dua kawasan itu dalam tempoh berkempen ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini