Hujung bulan yang lalu diperuntukkan untuk bersama Sekolah Politik anjuran Institut Kajian Dasar dan Konrad Adenauer Stiftung di Hotel Quality, Shah Alam, Selangor. Satu kelas yang aku kira, memberi gambaran praktikal kepada kejadian-kejadian yang berlaku dalam senario politik negara. Bagi yang meminati kisah politik negara yang nampaknya semacam berkecamuk, Sekolah ini sesuai untuk dijadikan pentas permulaan memahami asas-asas politik. Yang menariknya, kisah keberantakan dan kebobrokan dalam politik negara, dilakonkan semula oleh peserta dalam bentuk permainan-permainan santai sehingga ke Sesi Parlimen.
Pertamanya, aku berterima kasih kepada Sekolah Politik, Institut Kajian Dasar (IKD) dan pemudahcara yang berjaya menyeronokkan suasana. Santai, bersahaja dan aktiviti berlalu tanpa sedar. Aku secara peribadi, seronok melihat ada segerombolan juak-juak yang punya kesedaran politik yang tinggi dalam jumlah yang agak ramai.
Di usia aku, kebanyakkan masih bercerita tentang kehebatan sesebuah kereta, pasukan bola kegemaran mereka, tetapi jarang sekali mereka berbicara tentang politik dengan tegar. Jarang sekali orang berasakan kepentingan politik dalam kehidupan seharian. Jarang sekali orang positif untuk dengar tentang isu-isu kenegaraan.
Mereka tidak ambil peduli soal politik. Sedangkan, kekuatan politik itu cukup mengkagumkan. Kehebatannya menggunung, sehinggakan naik jatuh sesebuah kerajaan, pasti berkait rapat soal kuasa politik. Tetapi sebahagian besarnya masih angau, mereka masih sibuk memburu keseronokan dan hiburan di luar, lebih mengujakan, mereka sudah pandai cerita tentang aktiviti di rumah urut, mereka jadi tidak bimbang tentang negara.
Sebahagian ini biasanya bising apabila harga barang naik, tetapi tiada tindakan, hanya pandai buat bising dan mengkritik. Usah kita beralasan lagi, ayuh daftarkan diri sebagai pemilih. Itu paling pokok, kesiap-siagaan untuk menghadapi PRU 14 lebih penting!
Aktiviti Sekolah Politik disusun dengan cantik. Semangatnya itu dipupuk jinak seawal kelas oleh saudara Mustaqim diikuti oleh saudara Hasmi hashim a.k.a Buddhi Hikayat. Kami mendengar dan berdiskusi soal apa itu politik, kemudian mula masuk ke isu-isu yang lebih penting bagi mempersiap peserta dengan Sesi Utama di sebelah malam.
Kemuncak aktiviti ialah pada Sabtu malam Ahad, Sesi Dewan Rakyat Olok-Olok bagi membahaskan usul. Usul yang dibawa ialah mendesak KPN meletakkan jawatan kesan daripada peningkatan kadar jenayah yang meruncing dan kritikal. Barisan Kerajaan dihuni bukan calang-calang pendebat yang cukup digeruni, disokong pula dengan serikandi yang manis dengan panglima-panglima lalat-nya.
Aku yang pada mulanya berada di pihak pembangkang, menerima arahan dari Tangan Ghaib untuk berada di pihak Kerajaan dan seterusnya dilantik sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi. Aku kira barisan Pembangkang cukup hebat dan kental, diketuai Ketua Pembangkang Fikri, Ketua Whip Aya, dan bala tentera seluruhnya. Kita terima, dan kita bahas. Isu terbentang, fakta dan statistik sudah tersedia panas-panas, ayuh bakar semangat lawan!
Sesi Parlimen menjadi kenangan tak terlupa buat semua. Dengan kepincangan hujah, diselang-seli dengan bunyi bising suara-suara sumbang, memang mengganggu proses perbahasan. Kekacauan semakin memuncak sehingga Tuan Speaker menghalau Ahli Parlimen keluar dari Dewan (rasa macam nak baling je pen ke Tuan Speaker).
Berlaku juga lompatan Ahli Parlimen dari Kerajaan ke Pembangkang dengan spontan. Ini memang mengejutkan kawan dan lawan. Belum pernah terjadi dalam Sidang Parlimen, lompatan sebegitu kudus berlaku. Kupasan tentang Sesi Parlimen ini masih terngiang-ngiang. Provokasi dan simulasi yang dimainkan Tuan Speaker memang cemerlang dan UNIK! Manis sungguh. Keriuhan Dewan Rakyat turut dihangatkan oleh ustaz Wan Ji yang tak habis-habis asyik tangkap gambar. kah kah kah.
Di Sekolah Politik, kita terbuka dan berlapang dada. Biar apa pun fahaman kita atau kecenderungan pemikiran kita, ia bukan masalah. Tidak kira fahaman apa sekalipun, walau kapitalis, walau sosialis, walau fundamentalis, walau sekularis, walau Islamis, walaupun libertarian, walaupun diktatorism, walau juga katak atau lalang, semuanya berhimpun dan berkumpul atas nilai-nilai bersama.
Kepatuhan pada undang-undang dan nilai akhlak serta moral. Semua berbeza pendapat, tetapi bila sampai soal perlaksanaan, kita semua berbalik kepada prinsip yang sama yakni Urustadbir Yang Betul, Kebertanggungjawaban dan Keadilan. Ini yang menjadikan kita lebih matang menghadapi apa juga perbezaan antara kita. Berpadu pada persamaan dan bangga dengan kepelbagaian.
Semuanya bermula dengan seronok, namun pengenalan dengan Chegubard buat aku pusing. Setelah tamat program, dia mengajak aku ke satu pertemuan dengan bekas jaguh mahasiswa di UKM, saudara Azan Safar. Kami berbincang tentang protes rakyat pada malam ambang tahun baru. Difahamkan, saudara Azan akan mengetuai protes.
Antara yang hadir pada pertemuan itu adalah pengarah propaganda SAMM, Edy Noor Reduan yang banyak berhujah dan mencari jalan mempromosi protes rakyat ini. Namun timbul rasa tidak senang, aku lihat ada yang tidak kena.
Mereka mula berbincang tentang perkara dan helah-helah yang tidak masuk akal. Mereka merancang sesuatu yang tidak baik pada protes itu. Aku tidak berkata apa-apa, hanya senyap dan memerhati gelagat mereka.
Aku ada prinsip, dan Sekolah politik banyak mengajar aku tentang asas kebertanggungjawaban. Kalau itu agenda propaganda, aku kata tidak! Tidak! Tidak! Propaganda ada tanggungjawab. Aku hanya setuju kalau propaganda itu untuk kebaikan.
Mungkin kalian hebat dalam propaganda, namun protes rakyat perlu berjalan dengan harmoni. Itu pendapat aku! Kerana malam itu ramai akan datang untuk sambut tahun baru. Kalau berlaku huru-hara, siapa yang bertanggungjawab? Keseronokan mereka jangan digarap begitu sahaja!
Aku mula bosan dengan idea mereka, kalau benar mahu gulingkan kerajaan. Urus dan gerakan kumpulan mobilisasi seperti di Thailand. Kepung dan tawan pejabat-pejabat kerajaan. Kalau hanya provok pihak polis dan berharap dipukul oleh mereka. Aku rasa itu kerja kebudak-budakkan.
Komrad, semoga tulisan aku ini buat kalian berfikir sama-ada mahu terlibat secara langsung dalam protes ataupun tidak. Bertempur dengan pihak keselamatan hanya buang masa. Jadi sengaja aku imbas tentang keseronokkan di Sekolah politik supaya kita rindu nostalgia itu.
Imej pelajar sekolah politik harus kita jaga. Biar mereka dengan propaganda mereka. Aku doakan selamat maju jaya kepada mereka. Selamat berprotes!
Ahmad S*****
Penulis merupakan Pelajar Sekolah Politik, Institut Kajian Dasar (IKD)
Penulis merupakan Pelajar Sekolah Politik, Institut Kajian Dasar (IKD)
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini