Bahang Pemilihan Agung UMNO 2013 semakin memijar apabila bahagian dan cawangan kini sibuk bermesyuarat bagi memilih barisan kepimpinan parti untuk penggal akan datang. Sama ada kepimpinan lama dikekalkan ataupun akan berubah, semuanya ditentukan melalui keputusan ahli UMNO dan perwakilan dalam membuat pertimbangan.
Malangnya dalam mengekalkan tradisi pemilihan ini, kriteria utama memilih pemimpin sekarang nyata berubah jika berbanding pemilihan beberapa penggal lalu. Kini faktor perut dan kepala lutut menjadi asas utama membuat pertimbangan untuk menentukan kelayakan seseorang pemimpin, bukan lagi berlandaskan kepada kebolehupayaan pemimpin tersebut apatah lagi berlandaskan akal fikiran bagi merumus keputusan.
Berdasarkan hal ini, maka keutamaan dalam memilih teraju parti akan berkisar kepada faktor kemampuan pemimpin mengeluarkan wang untuk membelanja para ahli dan perwakilan menjamu selera, makan angin dan membeli-belah. Dan kayu ukur pertama dalam keputusan memilih kepimpinan parti pada peringkat cawangan atau bahagian dirumuskan kepada kesimpulan; pemimpin yang mampu berbelanja 'lebih', maka pemimpin tersebut mendapat sokongan 'lebih', ataupun juga sebaliknya.
Justeru budaya politik begini semestinya bukan budaya politik matang memandangkan kriteria pemilihan pemimpin tidak lagi berlandaskan kepada kredibiliti, karisma, keterampilan dan keupayaan pemimpin mentadbir parti. Sebaliknya pemimpin ditentukan berdasarkan kemampuannya memuaskan 'tembolok' dan nafsu serakah para ahli dan perwakilan UMNO bagi meraih sokongan pada peringkat akar umbi.
Seandainya budaya begini berterusan, saya berkeyakinan bahawa segala perjuangan dilaungkan kepimpinan UMNO untuk membela agama, bangsa dan negara cuma tinggal retorik bagi mengaburi mata rakyat mengenai hakikat perjuangan sebenar pemimpin Melayu mutakhir ini - yakni mengenyangkan perut dan memuaskan nafsu demi meneruskan survival peribadi dan keluarga sendiri sahaja.
Realitinya Pemilihan Agung UMNO sedang dijadikan medan pemimpin membuktikan betapa mereka begitu 'bermurah hati' menjamu perwakilan dengan pelbagai juadah istimewa di restoran terpilih dalam memancing sokongan ahli dan perwakilan. Malah jika pemimpin tersebut lebih berkemampuan dari segi kewangan, kelompok sasaran dalam parti itu turut diundang untuk sama-sama bercuti di dalam ataupun luar negara bagi menenangkan fikirkan agar dapat membantu pemimpin berkenaan dalam pemilihan nanti.
Budaya politik begini ternyata menjadi "sel-sel barah" yang menyerang UMNO di segenap peringkat, baik di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat. Sel ini kemudian terus membusuk dan menjadi nanah hanyir disebabkan ahli UMNO sendiri turut "bersetuju" menerima budaya politik kurang sihat ini terus membiak dalam parti itu.
Natijahnya kepimpinan bukan lagi dilihat dan didasari atas sifat perjuangan, sebaliknya pemimpin dalam UMNO sendiri boleh "dilahirkan" menggunakan pengaruh wang dengan cara memastikan tembolok dan nafsu serakah para ahli dan perwakilan dipuaskan agar sokongan diterima semasa pemilihan nanti tidak berbelah bahagi.
Apakah UMNO akan terus kekal dalam budaya ini dalam masa empat atau lima penggal akan datang? Persoalan ini saya tinggalkan untuk kita sama-sama fikirkan.
Kesimpulannya transformasi dilaungkan kepimpinan UMNO terutama Presiden Parti, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak hanya sekadar terletak cantik di bibir jika budaya begini kekal berterusan. Kepimpinan UMNO harus segera sedar bahawa budaya politik tembolok dan nafsu serakah tidak akan berkesudahan memandangkan tiada juadah mampu mengenyangkan perut sampai bila-bila dan tiada cara untuk menyenangkan nafsu sepuas-puasnya.
Maka amalan politik begini pasti menjadi punca kehancuran UMNO pada masa akan datang, apatah lagi tembolok dan nafsu tidak mampu dipuaskan lagi, dan pastinya ketika itu, pemimpin UMNO baru mengenal kembali erti pejuangan sebenar dalam berparti.
Selanjutnya, [klik sini]
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini