Koperal Hassan Ali Basari, 55, berasal dari Semporna, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada 9 Feb hingga 3 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim P. Ravinthran yang mendengar kes itu menetapkan 24 hingga 28 Jun untuk perbicaraan.
Hassan yang digari dan dipakaikan 'straight jacket' kelihatan tenang sepanjang prosiding.
Dia diwakili peguam Kamarudin Mohd Chinki manakala barisan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Kamarudin pada awalnya memohon mahkamah mempertimbangkan supaya membenarkan isteri Hassan bertemu dengan anak guamnya kerana sejak ditahan mereka dilarang berbuat demikian.
Ravinthran bagaimanapun menasihatkan Kamarudin supaya membuat permohonan rasmi berkenaan perkara berkenaan.
Selain itu, Abdul Gani memberitahu mahkamah perbicaraan kes itu akan melibatkan lebih 10 saksi dan tidak akan dibicara bersama dengan kes lain yang turut melibatkan keganasan di Lahad Datu.
Dalam prosiding hari ini juga, sepuluh lagi warga Filipina berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, dua warga Filipina menghadapi tuduhan yang sama.
Mereka yang didakwa melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong ialah Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Wazir Osman@Abdul, Abd Hadi Mawan, Tani Lahad Dahi dan Julham Rashid.
Semua mereka turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama seorang lagi tertuduh Aiman Radie.
Salib Akhmad turut didakwa atas pertuduhan merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas dan melindungi pengganas.
Bagi pertuduhan-pertuduhan berkenaan masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari hingga 13 Mac lalu di beberapa lokasi iaitu di Kampung Tanduo (daerah Lahad Datu); Kampung Perigi (daerah Semporna); Kampung Madai Kunak (daerah Kunak); Ladang Atlas 2, Jalan Ulu Tungku (daerah Lahad Datu) dan Kampung Bakau (daerah Semporna).
Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini