Pages

Saturday 5 January 2013

[LUCU] : JENTERA BOMBA BERTEMBUNG SESAMA SENDIRI



TELUK INTAN - Angkara sebuah kereta rosak di tengah jalan, misi memadamkan kebakaran di Kampung Esso, di sini, terjejas apabila dua jentera bomba dan penyelamat berlanggar sesama sendiri.

Akibat kejadian itu, seorang anggota bomba mengalami kecederaan manakala lapan anggota lain selamat dalam kejadian tengah hari, semalam.

Mangsa, Mohd Hafiz Abdul Rahman, merupakan anggota Bomba dan Penyelamat Teluk Intan cedera di bahagian kaki apabila jentera yang dinaikinya itu merempuh jentera di hadapannya.

Kejadian berlaku di kilometer 1, Jalan Changkat Jong, berhadapan bekas tapak Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak kira-kira 50 meter dari pasar raya terkemuka.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.59 tengah hari semalam itu kedua-dua jentera berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan untuk memadam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Esso selepas menerima panggilan kecemasan beberapa minit sebelum itu.

Seorang jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kedua-dua jentera berkenaan bergegas keluar dari balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang hanya 200 meter dari tepat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian pemandu jentera di hadapan yang dinaiki tiga anggota tiba-tiba memperlahankan kenderaan selepas terlihat sebuah kereta jenis Nissan Sunny di hadapan yang tidak bergerak dipercayai rosak dan ditinggalkan di situ.

“Sebaik menekan breknya itu, jentera dinaiki enam anggota yang mengekorinya di belakang itu tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian belakang jentera hadapan,” katanya.

Jentera bomba terbabas, rempuh pokok

Katanya, rempuhan tersebut mengakibatkan jentera di hadapan terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahagian tepi kiri jalan manakala jentera di belakangnya terhenti pada jarak kira-kira 10 meter di hadapan.

Menurutnya, jentera di hadapan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang manakala jentera belakang mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Minta bantuan bomba lain

Beliau berkata, akibat kejadian itu pihaknya terpaksa meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang untuk membantu memadamkan kebakaran di kampung berkenaan.

Kejadian itu telah menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Changkat Jong menghala ke pusat Bandar Teluk Intan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan katanya pihak polis sedang menyiasat kejadian itu.

No comments:

Post a Comment

Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;

1. Komen yang disifatkan sebagai spam

2. Komen termasuk kata-kata kotor

3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati

4. Komen yang menyerang seseorang secara individu

atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas

Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini