Para penyokong Perdana Menteri berdoa kesyukuran sebaik sahaja keputusan Mahkamah diberitahu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu.
Peguam yang mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu pemberita bahawa selepas membaca keseluruhan ucapan Perdana Menteri, hakim itu berpendapat ucapan itu tidak berbentuk fitnah.
Katanya mahkamah juga memutuskan ucapan itu adalah satu bentuk kiasan yang tidak merujuk kepada mana-mana pihak.
"Oleh itu mahkamah membatalkan saman plaintif (peneroka felda) dan membenarkan permohonan defendan (Najib). Mahkamah memerintahkan plaintif membayar RM3,000 setiap seorang kepada defendan," katanya.
Pada 7 Ogos lepas, tujuh lelaki dan seorang wanita peneroka felda Wilayah Jengka, Bandar Jengka, memfailkan saman itu terhadap Najib berhubung ucapannya yang didakwa mengaibkan dan menghina mereka melalui The Law Office of Mohd Harris.
Mereka ialah Samat L.Yusof, Alias Ibrahim, Idris Mat Sah, Syed Jamaluddin Syed Muhamed, Abdul Rahim Abdul Rahman, Rosdi Ismail, Abdullah Mohd dan Rakiah Sulong.
Mereka mendakwa ucapan di hadapan lebih kurang 40,000 orang itu antara lain membawa maksud mereka adalah pengkhianat, tidak bermaruah, tidak jujur dan tidak setia dalam perjuangan.
Mereka berkata ucapan itu juga telah disiarkan di media massa dan media elektronik dan mereka menuntut ganti rugi am, khas, teruk, faedah dan juga kos.
Perdana Menteri pada 24 September lepas telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha atas alasan writ saman itu adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah kerana plaintif tiada kuasa tindakan terhadap defendan, selain ianya tidak merujuk dan/atau mempunyai kaitan kepada defendan.
Beliau juga berkata saman itu mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan kegagalan plaintif untuk menyatakan kes terhadap defendan adalah suatu kegagalan yang mandatori dan menjadikan tuntutan mereka harus dibuang secara in limine.
Peguam Mohd Harris Abdullah yang mewakili peneroka felda itu memberitahu media bahawa beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.
Sementara itu, di luar mahkamah lebih 600 peneroka felda Wilayah Jengka yang menyokong Perdana Menteri berkumpul bermula kira-kira 8 pagi dengan membawa sepanduk antaranya bertulis "Kami sokong PM".
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini