KUALA LUMPUR - Wakil Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil giliran sebagai pencadang bagi usul ekonomi ketika Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Beliau menegaskan, takkala keadaan ekonomi global berada dalam keadaan yang semakin meruncing, ekonomi negara terus kekal kukuh.
"Di sebalik keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan mencabar, Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh.
"Dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan, terutamanya dalam menyediakan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang kondusif mengukuhkan keyakinan pengguna dan pelabur," ujarnya.
Idris menambah, pendekatan dan kebijaksanaan dalam menyusun strategi ekonomi negara, meletakkan Malaysia pada landasan yang betul untuk menjayakan 'transformasi ekonomi' ke arah Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Sementara itu, Idris mencadangkan supaya kerajaan memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan sepenuhnya agenda pembangunan Bumiputera.
"Mereka tidak harus sekadar melakukan aktiviti bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat," tegas Idris yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut.
Ia antara sembilan ketetapan yang digariskan dalam usul itu dalam menyokong penuh usaha kerajaan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi secara inklusif.
Idris yang juga Pengerusi Mara turut mencadangkan supaya kerajaan memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera dengan penubuhan pusat setempat sebagai pemudah cara dan pemberi khidmat nasihat dalam bidang pembiayaan, pemasaran serta pengurusan syarikat.
Menurutnya, penubuhan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah memberi kesan positif dalam membangunkan ekonomi Bumiputera serta menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang ekonomi baharu.
Jelas beliau, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang bagaimana kerajaan meletakkan ekonomi negara di atas landasan yang betul dan mengurusnya dengan baik sehingga membolehkan rakyat menikmati hidup selesa.
“Lebih 100,000 rakyat Malaysia menunaikan umrah setiap tahun, aktiviti melancong, memiliki kereta merupakan perkara biasa. Mereka juga dapat menghantar anak belajar ke luar Negara.
“Ibadah korban dapat dibuat hingga ke luar negara, bantuan kemanusiaan juga dapat disalurkan kepada masyarakat yang memerlukan. Ini semua kerana berkat usaha UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.
Selain itu, kata Idris, Skim Pembiayaan Mikro untuk usahawan kecil perlu diperkasa melalui penambahan peruntukan untuk Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).
“Skim ini banyak membantu usahawan kecil di luar bandar dan kadar bayaran balik pinjaman juga dilihat menggalakkan,” katanya.
Idris turut berkata pengiktirafan kerajaan terhadap Wakaf Korporat akan mengangkat sektor sukarelawan korporat untuk menjadi instrumen baharu dalam menjana ekonomi negara.
Menyentuh sektor perumahan, Idris berkata usaha kerajaan untuk memastikan harga rumah terkawal selain meringankan beban hidup rakyat melalui pelbagai program perlu disokong semua pihak.
Beliau antara lain turut memuji dan berterima kasih kepada Presiden parti di atas pengurusan ekonomi yang bijak dan penyediaan bajet 2013 yang terus mengutamakan kesejahteraan rakyat.
mimr
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini