Difahamkan, projek pertama terletak di Lot 847, Mukim Ulu Kelang di mana 3 blok, 40 sehingga 41 tingkat ‘service suite’ sebanyak 1,000 unit berhampiran Taman Hillview manakala projek kedua pula terletak di Lot 5, Seksyen 2, Jalan 2, Taman Sri Ukay, Mukim Ulu Kelang.
Elak kejadian berulang
Wakil Jawatankuasa Khas Bertindak, Lee Joo Khim berkata, penduduk dikejutkan dengan dua projek yang jika tidak diteliti dengan mendalam, malapetaka mungkin berulang.
Menurutnya, semasa taklimat bersama MPAJ pada 3 Oktober 2012, 3 blok dicadangkan di Lot 847 akan dibina di atas sebuah kolam air sedia ada di tapak tersebut.
“Perlu difahami bahawa kolam itu semulajadi dan cuba dikeringkan oleh pemilik tanah sebelum ini tetapi gagal.
“Daripada pemerhatian, terdapat punca mata air di bawah permukaan tanah di tapak tersebut dan kawasan sekelilingnya mengandungi saluran mata air yang puncanya tidak dapat dikenal pasti,” katanya kepada Sinar Harian selepas demonstrasi aman bersama penduduk Taman Sri Ukay dan Taman Hillview di persimpangan masuk Taman Sri Ukay.
Hadir sama, Adun Hulu Kelang, Saari Sungib.
Petisyen bantahan diserahkan kepada Setiausaha Pejabat Ahli Parlimen Ampang, Azura Aziz.
Joo Khim berkata, projek itu melibatkan pembinaan 1,000 unit servis apartmen yang akan menyebabkan menambah lagi kesesakan lalu lintas di situ.
Mengenai projek di Lot 5 pula, beliau berkata, pada taklimat sama, perunding pakar menjelaskan bahawa cerun dan bukit di sekitar Taman Sri Ukay dan Taman Hillview tidak stabil dan berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.
“Pakar mengatakan, tanda-tanda awal tanah runtuh telah ada seperti kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.
“Sekiranya ini benar, Kerajaan Negeri Selangor harus mengambil tindakan pro-aktif memastikan keselamatan penduduk dan memberi jaminan bahawa bencana seperti Highland Towers tidak berulang.
“Penduduk minta Kerajaan Negeri menjalankan geoteknikal berkaitan keselamatan cerun dan bukit berhampiran Taman Sri Ukay dan Taman Hillview,” katanya.
Menurutnya, penduduk juga memohon cadangan projek itu dihentikan atau dibatalkan sehingga mendapat kepastian daripada pakar perunding bebas.
“Selagi tiada jaminan keselamatan dari pakar perunding bebas dan Kerajaan Negeri Selangor, penduduk sekeras-kerasnya membantah apapun jenis pembangunan di sini.
Tanggungjawab Kerajaan Negeri, bukan pemaju
Sementara itu, Saari menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor dan MPAJ mempunyai tanggungjawab bagi memastikan cerun dan bukit selamat, bukan pemaju.
Katanya, dakwaan pemaju mengatakan cerun dan bukit tidak selamat selagi projek tidak dibangunkan adalah tidak wajar kerana keselamatan penduduk adalah tanggungjawab Kerajaan Negeri dan MPAJ.
“Melihat kepada situasi ini, saya menyokong bantahan bagi membangunkan apa-apa pembangunan di kawasan ini kerana tidak mahu tragedi Highland Towers berulang," katanya.
Beliau turut akan membawa bantahan itu pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 19 November ini.
Katanya, MPAJ juga perlu peka dengan suara rakyat dan penelitian lebih terperinci mesti dilakukan.
Dalam pada itu, Azura berkata, masalah cerun pernah dibangkitkan di Parlimen dan MPAJ masih belum menerima peruntukkan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membaik pulih cerun di Bukit Antarabangsa.
“Berhubung petisyen bantahan, hasrat penduduk akan diserahkan kepada Zuraida agar masalah ini dibangkitkan sekali lagi,” katanya.
Yang Dipertua MPAJ, Datuk Mohammad Yaacob pula mengakui menerima permohonan dari pemaju terbabit.
“MPAJ beri masa sebulan kepada penduduk dan pemaju untuk berbincang” katanya. - Sinar
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini