SHAH ALAM - Niat seorang kanak-kanak perempuan untuk bermain permainan komputer di pusat siber kafe berhampiran rumahnya di Kota Kemuning, di sini bertukar episod hitam dalam hidupnya apabila dipaksa melakukan seks oral pekerja pusat terbabit.
Kanak-kanak berusia lapan tahun itu turut diugut supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa jika tidak mahu dicederakan menyebabkan dia yang trauma berubah menjadi pendiam dan murung.
Bagaimanapun, kejadian menimpa mangsa terbongkar ketika dia yang pulang bersama keluarga ke kampung halaman mereka di Pantai Timur untuk berhari raya yang lalu didesak ibu saudara yang pelik melihat keadaan mangsa yang murung.
Mangsa kemudian menceritakan kejadian dia dicabul ketika sedang bermain permainan komputer menyebabkan ibu saudaranya itu terkejut dan terus membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, minggu lepas.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, pada 15 Ogos lalu kira-kira jam 5 petang, mangsa keluar bersama beberapa rakan lelakinya selepas diajak bermain permainan komputer di pusat siber kafe berhampiran kediaman mereka.
“Bagaimanapun ketika sedang bermain, tiba-tiba datang seorang pekerja berusia 30 tahun mengajak mangsa ke tandas namun dia enggan menyebabkan lelaki itu bertindak ganas menarik tangan mangsa sebelum membawanya ke belakang pusat berkenaan.
“Mangsa yang ketakutan merayu dilepaskan dan menangis namun tidak diendahkan sebaliknya diugut akan dipukul jika menjerit atau melawan,” katanya.
Sumber berkata, sebaik mangsa mendiamkan diri, lelaki itu memaksa mangsa melakukan seks oral.
“Sebaik selesai memuaskan nafsunya, lelaki berkenaan kemudian mengarahkan mangsa keluar dari tandas dan mengugut supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa jika tidak mahu diapa-apakan.
“Mangsa ketakutan terus pulang ke rumah dan tidak berani menceritakan kejadian kepada ibu bapanya,” katanya.
Bagaimanapun, ibu saudara mangsa menyedari perubahan yang berlaku ke atas kanak-kanak itu ketika mereka sekeluarga pulang berhari raya sebelum mendesak menceritakan apa yang berlaku.
mimr