Sambil menegaskan bahawa PAS akan terus berjuang memartabatkan Islam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya mahu Karpal 'tutup mulut' daripada memberi pandangan mengenai prinsip dan dasar parti itu.
Malah ahli politik veteran itu diminta melihat isu besar yang dipersetujui secara bersama dalam pakatan pembangkang demi matlamat politik masing-masing.
"PAS harap Karpal menghormati dasar dan perjuangan PAS yang sudah diketahui umum. Kita tidak akan sekali-kali berhenti daripada menegakkan Islam.
"Justeru Karpal seharusnya melihat perkara besar yang sudah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat kerana itu adalah lebih utama," katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Karpal yang meminta pemimpin PAS supaya tidak terus membangkitkan isu negara Islam yang boleh merencatkan kemaraan pakatan pembangkang ke Putrajaya.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, kepimpinan PAS perlu akur dengan Buku Jingga yang tidak memasukkan hudud sebagai satu agenda pemerintahan Malaysia dan manifesto dalam pilihan raya akan datang.
Sebelum ini Karpal menafikan dakwaan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi ketika berdebat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU), Fathul Bari Mat bahawa beliau pernah membuat kenyataan bersedia untuk mempertimbangkan dasar PAS mahukan sebuah negara Islam sekali gus bertegas tidak akan bersetuju dengan pelaksanaannya.
Bagaimanapun Tuan Ibrahim mempertahankan kenyataan Nasrudin namun berharap ia tidak dijadikan polemik yang boleh merosakkan hubungan kedua-dua parti.
"Kita faham maksud dan situasi yang dibangkitkan Nasrudin ketika berdebat. Beliau hanya ungkapkan kembali pandangan Karpal mengenai hudud...namun pada hari ini pandangan itu sudah berbeza.
"PAS harap ia tidak dijadikan polemik kerana banyak isu lain yang lebih besar perlu diberi perhatian jika pembangkang mahu menuju ke Putrajaya," katanya. -
mimr
No comments:
Post a Comment
Pemilik blog ini berhak untuk mengedit atau memadam apa-apa komen yang dikemukakan kepada blog ini tanpa notis disebabkan;
1. Komen yang disifatkan sebagai spam
2. Komen termasuk kata-kata kotor
3. Komen mengandungi bahasa atau konsep yang boleh dianggap menyakitkan hati
4. Komen yang menyerang seseorang secara individu
atau langsung tidak menyiarkan komen-komen yang tergolong dalam 4 pekara diatas
Pemilik blog ini juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa kerugian, kecederaan, kerosakan semasa melayari blog ini